Wednesday, November 18, 2009

Perebutan Jawatan Senator ke 3.

Pada tahun 1996, Kerajaan Malaysia telah melantik Datuk Charern Intachat bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah sebagai senator yang pertama bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen. Pemilihan calon senator kali pertama adalah secara sebulat suara yang dicalonkan oleh pemimpin Majlis Sanggha Negeri Kedah. YAB Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan perlantikan Datuk Charen sebagai senator semasa rapat umum di Wat Titi Akar, Pendang, Kedah pada 1 April 1996.

Pada tahun 2002, Kerajaan Malaysia juga telah melantik Datuk Siw Chun, ahli perniagaan sebagai senator yang kedua bagi menggantikan Datuk Charern yang tamat tempoh selama 2 penggal selama 6 tahun. Pemilihan calon Senator bagi kali kedua pula adalah secara pengundian melalui Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM pada tahun 2002 di Dewan Budaya, Pumpong, Kedah. Pertandingan 6 penjuru antara calon ialah Datuk Sawai, En. Siri Neng Buah, Datuk Siw Chun, Boon Som Inong, Eh Pon Awang Din dan Dr. Proom Promwichit.

Calon yang berjaya dipilih ialah Datuk Sawai, En. Siri Neng Buah dan Datuk Siw Chun. Akhirnya Datuk Siw Chun a/l Eam dipilih sebagai senator kedua bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen.

Setelah tempoh Datuk Siw Chun tamat pada 19.12.2008, maka berlakulah perebutan jawatan senator ke 3 di kalangan pemimpin masyarakat Siam Malaysia. PSM telah membuat pemilihan calon di Sg. Petani pada 15.11.2008 dan berlaku pertandingan 4 penjuru iaitu En. Siri Neng Buah, En. Chalar Endin Proom, En. Vinai dan En. Osot atau Chatri manakala En. Wichien menarik diri.

Keputusannya ialah En. Siri Neng Buah, En. Chalar dan En. Vinai telah dipilih sebagai calon senator ke 3 mewakili PSM. PSM dalam keadaan tenang tetapi bergelora, itulah kata-kata yang boleh diungkapkan. Timbalan Presiden PSM iaitu En. Eh Chot Cha Chan juga telah mengemukakan calon melalui Persatuan Masyarakat Siam Kelantan untuk merebut jawatan yang sama. Begitu juga En. Boonsom Inong yang juga AJK Pusat PSM telah mengemukakan calon dengan mendapat tandatangan pengerusi-pengerusi JKKKP Kampung Siam seluruh negeri Kedah. Jelaslah bahawa untuk mendapatkan jawatan senator ke 3, kalangan Ahli Jawatankuasa PSM telah berpecah kepada 3 kumpulan.

Ada ura-ura mengatakan sekiranya kerajaan tidak melantik senator di kalangan calon yang dipilih oleh PSM maka PSM akan dibubarkan. Ada juga ura-ura mengatakan PSM tidak akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan sekiranya jawatan senator tidak dilantik. Betul atau tidak khabar angin ini belum dapat dipastikan. Sekiranya khabar angin ini benar, maka masyarakat Siam Malaysia akan kehilangan satu-satunya organisasi peringkat kebangsaan bagi mewakili masyarakat Siam di Malaysia.

Orang ramai juga bergosip mengatakan Datuk I Ting Tan Ah Kee, Datuk Sawai dan Dr. Proom juga telah menghantar nama kepada PM sebagai calon senator dengan menggunakan saluran politik. Semoga perlantikan senator ke 3 bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen tidak mendatangkan masalah kepada pembangunan masyarakat Siam di Malaysia.

2 comments:

Unknown said...

saya memang telah lama menunggu penulisan sebegini , Tahniah. Biarlah kita gunakan ruang ini untuk membicarakan sejarah asal usul orang siam kita kerana sudah terlalu banyak yang memperkatakan tentang isu semasa dan politik orang siam . Diharap terdapat banyak lagi bahan bahan sebegini dimasa hadapan .Sawasdi

Unknown said...

sorry , komen diatas adalah untuk artikel masyarakat siam di malaysia, tersalah post .