Monday, November 23, 2009

Sami Siam diheret ke gelanggang politik.

Selepas PRU ke 12 berlalu pada Mac, 2008, keputusannya Kerajaan Negeri Kedah telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR).

YAB Menteri Besar Kedah sedar bahawa masyarakat Siam cukup setia kepada UMNO. Sukar untuk meroboh benteng UMNO di kalangan pengundi-pengundi Siam. Walaupun gelombang ketidakpuasan hati pengundi-pengundi terhadap kerajaan BN semakin meningkat, sehingga kebanyakkan pengundi-pengundi bukan Melayu beralih angin menyokong PR. Tetapi pendirian masyarakat Siam masih teguh menyokong UMNO.

Kerajaan Kedah bawah PR tidak pulak membenci masyarakat Siam. Malah mereka berusaha meroboh benteng tersebut yang dibina oleh UMNO untuk mendekati masyarakat Siam. Pihak PR percaya bahawa masyarakat Siam bersatu di bawah penguasaan pengaruh wat. Sekiranya dapat mendekati pihak wat terutamanya ketua-ketua sami maka PR akan mudah mendekati masyarakat Siam untuk menyokong PR.

Satu Majlis Lawatan Kerja Menteri Besar Kedah ke Daerah Pendang telah dianjurkan di Wat Thepbandit, Kg. Paya Mak Inson, Pendang, Kedah di mana Ketua Sami wat tersebut merupakan Ketua Sami Kedah/Perlis merangkap Pengerusi Persatuan Sami Siam Malaysia. Majlis tersebut amat berjaya sekali menarik sokongan masyarakat Siam terhadap Kerajaan Negeri Kedah.

Di sudut lain pula, Setiausaha Politik (setpol) kepada Menteri Besar Kedah juga rapat dengan salah seorang ketua sami yang amat berpengaruh di kalangan masyarakat Siam Kedah. Boleh dikatakan kerap Setpol pergi berborak dengan ketua Sami tersebut bagi mewujudkan perhubungan yang lebih akrab. Ketua sami tersebut juga telah diberi pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah setelah Ketua Sami Kedah/Perlis menolak pemberian pingat tersebut.

Semasa berlakunya bencana alam di Kampung Batu Seketul, Sik, Kedah di mana hampir setiap rumah orang-orang Siam di kampung tersebut terlibat. Setpol kepada MB Kedah telah membawa bersama salah seorang Ketua Sami untuk melawat kawasan bagi meninjau tempat kejadian.

Semasa wakil rakyat PAS nak menyumbangkan bola kepada belia-belia Siam pun mereka menyerahnya melalui ketua-ketua sami.

Semasa Majlis Jamuan Rumah Terbuka MB Kedah sempena Hari Raya Puasa diadakan pada 24 Sept 09 di Mentaloon, satu kumpulan ketua-ketua sami juga telah hadir. Tetapi majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Siam sendiri di Wat Titi Akar pada 25 Sept 09, ketua-ketua sami Kedah diarah oleh pihak tertentu supaya jangan hadir.

Keadaan ini telah menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin masyarakat Siam kurang senang dengan perkembangan ini. Ramai pihak telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui internet antara blog KSB, blog GSB, blog JST, blog Hinghoi dan juga melalui Forum Pekemas.

Harap pihak PR janganlah menggunakan sami untuk kepentingan politik. Institusi sami merupakan badan mulia bagi penganut-penganut agama Buddha dan menjadi pihak neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jangan mencemarkan institusi ini.

Ditulis oleh Itsara
Pada 24.11.2009

No comments: