Wednesday, December 9, 2009

YOSM: Siam Mudah Lupa.

Sejak bila Yayasan Orang-orang Siam Malaysia (YOSM) ditubuhkan saya tidak pasti. Saya rasa penubuhan YOSM mesti serentak dan seiring dengan penubuhan Persatuan Siam Malaysia (PSM) setelah membuat pengubahsuai dan menaiktaraf Persatuan Thai Malaysia (PTM) dari Pulau Pinang.

Dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM Kali 1 Tahun 2000 di Dewan Residensi, Jalan Kolam, Perlis pada 26.3.2000 (Ahad), Pengerusinya, Datuk Charern Intachat telah mengumumkan penubuhan YOSM. Kata beliau, tumpuan YOSM ialah ke arah meningkatkan tahap pendidikan di kalangan penduduk keturunan Siam di Negara ini.

Menurut beliau lagi, langkah menubuhkan YOSM adalah sebahagian usaha mengangkat martabat serta membolehkan rakyat keturunan Siam di Negara ini bersaing dengan kaum lain. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Abdul Latib Omar.

YOSM dilancarkan

YOSM telah dilancarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ling Liong Sik yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Malaysia di Dewan Sek. Men. Keat Hwa, Alor Setar, Kedah pada 17.11.2000. Beliau turut menyumbangkan sebanyak RM30,000 kepada YOSM.

Jumlah keseluruhan dana YOSM yang berjaya dikutip daripada orang ramai sebanyak RM179,000.00 sehingga November 2000. Sekarang, tiada siapa tahu berapa jumlah dana yang ada dalam akaun YOSM. Pihak YOSM tidak pernah menerangkan kedudukan YOSM.

Dari tahun 2000 hinggalah sekarang, masyarakat Siam Malaysia masih menanti hasil usaha YOSM bagi meningkatkan taraf pendidikan. Apakah hasilnya selama ini, dah hampir 10 tahun YOSM ditubuhkan? Tiada siapa tahu.

Pada tahun 2002, kerajaan telah memberi 100 permit kontena dan 20 permit traler kepada YOSM. Maklumat ini diumum sendiri oleh Presiden PSM dalam Mesyuarat Perwakilan Tahunan di Dewan Institut Pentadbiran Awam Kedah, Jalan Sultanah, Alor Setar, Kedah. Saya difahamkan permit tersebut disewa kepada syarikat pengangkutan yang mempunyai kaitan dengan bekas Presiden PSM.

Pada tahun 2004, semasa Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM di Wat Kg. Tasek, Pengkalan Hulu, Perak, Presidennya Datuk Siw Chun a/p Eam telah memaklumkan bahawa hasil sewa permit tersebut sebanyak RM60.000 setahun. Pendapatan daripada sewa permit tersebut dibahagikan 2 iaitu RM30,000 kepada PSM dan RM30,000 lagi kepada YOSM.

Sekiranya YOSM mendapat RM30,000 setahun sejak tahun 2003, ini bermakna YOSM dapat mengumpul RM210,000 sehingga tahun ini. Jika dicampurkan dengan RM179,000 hasil sumbangan orang ramai, maka ia menjadi RM389,000 tidak termasuk hasil kadar bunga simpanan bank. Saya hanya membuat perkiraan secara andaian sebab tiada siapa tahu kedudukan sebenar YOSM yang dilaung-laungkan untuk pembangunan pendidikan masyarakat Siam Malaysia.

Harap ada pihak tampil untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Siam seluruh Malaysia sebab SIAM MUDAH LUPA.

1 comment:

kumpas said...

janganlah muda lupa wahai siam kita!